Make your own free website on Tripod.com

logo.jpg

Home | Jadual Kuliah | Directions | Contact Us | Kitab Bahrul Mazi | Isu Semasa | Doa | Pautan

Kitab Bahrul Mazi

.

allah.gif

Mesjid Padang Temusu

Sungai Petani

Bahrul Mazi 13

Masalah 223 Hingga 231.

223.) Bab : Yang telah datang pada menyatakan hadis yang membicarakan menolakkan keaipan daripada kehormatan saudara yang Islam

Ketahuilah kiranya ya saudaraku, apakala orang menyebut dihadapanmu mengenai sifat seorang saudaramu yang Islam dan dicelanya dengan tiada kebenaranya bahawa sebenarnya orang itulah yang bersifat demikian ( seperti apa yang dituduh kepada saudara yang dicelanya ).

Ya'ni apabila orang yang dicelanya itu tiada terkenal sebagai orang yang jahat dan fasik maka hendaklah engkau tolak katanya dengan balasan yang baik dan kalam yang menghilangkan jahat sangka itu.

Maka yang demikian itu disuruh syarak kita sebagaimana tersebut pada hadis yang dikeluarkan oleh Abu Isa Al-Termizi dengan katanya

- Diriwayatkan daripada seorang sahabat Nabi SAW namanya Abi Al-Darda' r.a daripada Nabi SAW, sabdanya : Barangsiapa menolak serta mempertahankan daripada jatuh air muka saudaranya yang Islam nescaya ditolak oleh Allah mukanya daripada api neraka pada hari kiamat.

Kata Abu Isa Al-Termizi ~ Dan pada bab ini ada riwayat daripada Asma' binti Yazid. Katanya lagi bermula ini hadis hasan. 224.) Mukasurat 116 Masalah : Mempertahankan saudara daripada kena jatuh air mukanya itu adalah wajib

Seperti dikata orang : Si-anu itu tidak pernah ku lihat dan ku dengar ia berzakat atau bersedekah, serta dirinya sangatlah bakhilnya ia hanya sukakan anak isterinya bercampur gaul dengan orang-orang yang patut-patut yang boleh dicampuri sahaja dan sebagainya.

Maka boleh kamu tolak akan dia ( cemuhannya / umpatannya itu ) dengan berkata : Aku tahu ia orang yang kuat bersedekah dan berzakat, dan tidak suka ia mencampurkan anak isterinya dengan laki-laki yang dicemburukannya.

Adapun berlaku seperti perkataanmu itu ialah terdorong jua tiada diketahui jadi yang demikian itu, bahkan ia seorang yang cemburu dan memeliharakan kehormatannya.

Maka tidaklah patut engkau caci orang yang seperti ini dan haram atas kamu memperbuat ( umpatan ) yang demikian, kerana engkau pun mengetahui ia daripada orang anak baik-baik dan saleh. Dan pula wajib kamu sama menutup apa keaipan yang terdorong ia memperbuatnya. Banyaklah perkataan yang boleh mempertahankan daripada kena jatuh air muka saudaramu itu dan juga jalan menutup keaipannya. Maka sesiapa yang mempertahankan yang demikia itu nescaya Tuhan lepaskan akan dia daripada api neraka. 225.) Bab : Yang telah datang ia pada menyatakan tegah tidak bertegur dan bercakap dengan seorang yang Islam

Ketahuilah kiranya ya saudaraku apabila berlaku di antara seorang muslim dengan sesaorang lain perkelahian dan bermaki-maki dan berpukul-pukul dan bermarah-marah, tidaklah boleh kekal marah itu selama-lamanya, dan tidak boleh meninggalkan daripada bertegur dan bersalam-salaman lebih daripada tiga hari.

Bermula dalil yang menunjukkan atas yang demikian itu ialah sebagai hadis yang dikeluarkan oleh Abu Isa dengan katanya

- Diriwayatkan daripada seorang sahabat bagi Nabi SAW namanya Abu Ayub Al-Anshari r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda :

Tiada halal bagi seorang yang Islam itu tidak menegur saudaranya lebih dari tiga hari. Di mana apabila berjumpa keduanya dijalan atau di mana-mana tempat maka berpaling seorang yang ini, dan berpaling seorang yang ini mukanya tidak mahu memandang muka kawannya, menunjukkan antara keduanya tiada mahu berbaik. 226.) Mukasurat 117 Masalah : Tiada bertegur dan bercakap dengan lawan berkelahi

Kata Imam Nawawi rmt - telah berkata ulamak pada hadis di dalam masalah 225 itu menunjukkan haram tiada bertegur dan tiada bercakap antara orang Islam lebih daripada tiga hari.

Dan adalah dimaafkan jika tidak bertegur di dalam masa tiga hari ( paling lama tiga tiga, jika lebih berdosa ). Sebab pun mengapa tiada bertegur di dalam tiga hari itu kerana anak Adam itu kejadian semulajadi tabiatnya yang pemarah dan jahat perangai dan lainnya.

Maka adalah dimaafkan jika tidak bertegur itu di dalam tiga hari supaya dapat menghilangkan tabiat buruk yang berdatang-datang itu. Dan kata khil hadis ini tiada kemahuannya mengharuskan tiada bertegur di dalam tiga hari. ( bukanlah mksud hadis itu supaya melengah-lengahkan untuk berbaik semula sampai tiga hari tetapi seeluknya dipercepatkan menegur saudara yang tidak bertegur itu ) 227.) Masalah : Tiada bertegur dan tiada bercakap dengan orang yang berbuat maksiat apa hukumnya ?

Iaitu harus tidak bertegur dengan orang yang berbuat maksiat itu kemudian daripada telah mengetahui dirinya itu berbuat maksiat. Maka apakala sudah ia bertaubat daripada maksiat wajib bertegur dengannya. 228.) Masalah : Tiada bertegur dengan orang yang ditakutkan binasa ugama kerananya

Kata Abdul Bair : Telah idjmak ulamak atas bahawasanya tiada diharuskan tidak bertegur lebih daripada tiga hari melainkan bagi orang yang takut dengan sebab bertegur itu dan bercakap-cakap dengan lawannya itu boleh membawa kepada rosak ugamanya, atau masuk daripadanya atas dirinya kemudharatan.

Maka jika ada yang demikian itu nescaya tidak harus bertegur, dan boleh jadi tidak bertegur itu lebih bagus daripada bercampur dengan orang yang boleh memberi mudharat.

Sabda Nabi SAW : Dan yang lebih baik hati daripada dua orang yang tidak bertegur itu iaitu yang memulai dengan salam. 229.) Masalah : Tiada menegur dan tiada menyahut salam orang yang menegur apa hukumnya ?

Seperti seorang dari dua orang yang tiada berteguran itu apabila telah cukup tiga hari maka datang seorang memberi salamnya, tiba-tiba yang seorang lagi tidak mahu menyahut salamnya itu. Maka lepaslah untuk orang yang menegur itu daripada menanggung dosa, malah mendapat ia pahala. Hanya orang yang kena tegur ( yang tidak menjawab salam ) itu kekal di dalam dosanya selama ia tiada bertegur itu. Maka apabila telah bertegur-teguran keduanya maka berkongsilah keduanya pada pahala. 230.) Masalah : Menegur dengan salam sahaja dan tiada bercakap-cakap adakah lepas dosa

Kata Imam Nawawi rmt - Dan pada sepotong hadis pada masalah 228.) itu merupakan dalil bagi mazhab Shafie dan Maliki dan orang yang muafakah dengan keduanya bahawasanya salam itu memutuskan nama tiada bertegur, dan mengangkatkan dosa padanya dan menghapuskannya.

Manakala kata Imam Ahmad dan Ibn Kassim - Jika ada lagi orang yang berteguran dengan salam itu memberi mudharat dan menyakiti saudaranya maka tidak putus juga nama tidak berteguran itu dan tidak hapus dosanya 231.) Masalah : Tiada berteguran itu adakah lepas dosanya dengan berkirim-kiriman surat

Kata Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim : Telah berkata ashab kita bahawa dengan bertulis-tulis dan berkirim-kiriman surat di antara dua orang yang tiada berteguran pada waktu tidak berjumpa antara keduanya adakah hilang nama tidak berteguran pada syarak dan tidak berdosa ?

Maka jawabnya ada dua wajah : Pertama : Tiada hapus dosa tidak berteguran itu kerana ianya tiada bercakap-cakap diantara mereka berduanya. Kedua : Hapus dosanya kerana hilang liar hati antara keduanya. Wallahu A'lam.